watak utama(PUTERA GUNUNG TAHAN)

Saturday, August 8, 2009 by: CAHAYA Man JR

Berdasarkan novel Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad, watak utamanya adalah Ratu Bongsu. Ratu Bongsu memainkan peranan yang penting dalam jalan cerita novel ini.

Antara perwatakan Ratu Bongsu yang terdapat dalam novel ini ialah beliau merupakan seorang yang bijaksana. Beliau bijak berhujah dan menangkis segala sindiran Tuan William terhadap bangsa Melayu. Kebijaksanaannya jelas terpancar sehingga beliau berjaya memerangkap Tuan William yang belot dalam istananya yang diserang oleh Inggeris walaupun Tuan William mengatakan bahawa kapal terbang yang datang itu hanyalah seekor anak burung.

Selain itu, Ratu Bongsu juga merupakan seorang yang sangat cinta akan tanah airnya. Beliau sentiasa berusaha mempertahankan negerinya daripada ditakluk oleh bangsa asing. Demi cintanya terhadap tanah air, beliau telah menolak sogokan Tuan William supaya menyerahkan puncak Gunung Tahan kepada Inggeris. Beliau turut menolak segala hadiah lumayan dan kemewahan sepanjang hayat yang ditawarkan pihak Inggeris semata-mata demi kedaulatan tanah air yang tercinta.

Ratu Bongsu juga merupakan seorang baik hati. Beliau memberikan layanan yang baik kepada tetamunya iaitu Tuan William dan beliau menganggap Tuan William sebagai sahabat walaupun baru bertemu. Beliau juga sedia meminjamkan teropong terus, beringin bercakap dan burung pesuruhjaya kepada Tuan William. Tambahan pula, beliau turut merawat dan memberikan perlindungan kepada Mem William walaupun Mem William berada di pihak Inggeris yang menyerang Gunung Tahan.

Di samping itu, Ratu Bongsu juga merupakan seorang yang berwaspada. Beliau sentiasa berwaspada terhadap kehadiran dua orang Inggeris iaitu Tuan Robert dan Tuan William yang berpura-pura baik sedangkan mereka cuba memiliki puncak Gunung Tahan. Sikap berwaspada beliau telah berjaya mematahkan percubaan mereka untuk memiliki Gunung Tahan.

Filed under: