watak sampingan(PUTERA GUNUNG TAHAN)

Saturday, August 8, 2009 by: CAHAYA Man JR

Novel yang telah saya pelajari ialah novel Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad. Watak sampingan adalah watak yang membantu watak utama dan boleh dibahagikan kepada protagonis dan antagonis.

Antara watak sampingan yang terdapat dalam novel ini ialah watak Perempuan Tua. Perempuan Tua merupakan seorang keturunan raja tetapi terpaksa berlari jauh ke dalam hutan kerana diburu pihak Inggeris. Beliau pernah bersuami dan mempunyai seorang anak lelaki. Beliau tinggal di dalam hutan bersama-sama masyarakat Sakai selama berpuluh-puluh tahun. Beliau juga merupakan seorang yang tegas. Buktinya, beliau tidak terpengaruh dengan kata-kata Tuan Robert yang memintanya untuk menjual tulang harimau putih.

Selain itu, beliau juga seorang yang taat kepada perintah agama. Beliau beragama Islam dan mengajar ilmu-ilmu berkaitan agama Islam kepada perempuan-perempuan Sakai di hutan. Beliau juga tidak makan daging babi, berpakaian menutup aurat, bersembahyang dan masih menganut agama Islam walaupun setelah berpuluh-puluh tahun hidup bersama masyarakat Sakai.

Di samping itu, watak sampingan yang terdapat dalam novel ini ialah Kusina. Kusina ialah orang Bunyian yang menjadi pengiring setia Ratu Bongsu. Dia yang bertanggungjawab membawa Tuan William ke puncak Gunung Tahan. Dia juga seorang yang baik hati. Dia menasihati Tuan William tentang pelbagai perkara berkaitan adab-adab semasa menghadap Ratu Bongsu dan pantang-larang semasa mendaki Gunung Tahan. Malah, Kusina turut membawakan Tuan William makanan.

Kusina juga seorang yang bijak bertindak. Dalam keadaan genting ekoran serangan udara pihak British di puncak Gunung Tahan, dia yang telah lama menghilangkan diri muncul semula. Beliau telah memerangkap Tuan William dalam bilik khazanah Ratu Bongsu. Dalam serangan tersebut, Tuan William akhirnya terbunuh dalam runtuhan istana Ratu Bongsu.

Kesimpulannya, watak sampingan turut memainkan peranan yang penting dalam melengkapkan cerita sesebuah novel. Hal ini kerana watak-watak ini mempunyai cirri-ciri dan sifat-sifat yang tersendiri dalam menyerlahkan watak utama.

Filed under: