singa bermentaliti kambing

Tuesday, April 7, 2009 by: CAHAYA Man JR

Alkisah, di sebuah hutan belantara ada seekor ibu singa yang mati setelah melahirkan anaknya. Anak singa yang lemah itu hidup tanpa mendapat perlindungan ibunya. Beberapa waktu kemudian, sekumpulan kambing melintas di tempat singa itu.

Anak singa itu menggerak-gerakkan tubuhnya yang lemah. Seekor ibu kambing tergerak hati. Ia berasa sedih dan hiba melihat anak singa yang lemah dan hidup sebatang kara itu. Maka terbitlah nalurinya untuk merawat dan melindungi anak singa itu.

Si ibu kambing menghampiri anak singa itu, lalu membelai dengan penuh kehangatan dan kasih sayang. Kerana dapat menikmati kehangatan dan kasih saying begitu, si anak singa itu pun tidak mahu berpisah dengan ibu kambing . Ia pun terus mengikut ke mana saja ibu kambing pergi  .Jadilah ia sebahagian daripada keluarga besar kumpulan kambing itu.

Hari berganti hari, dan anak singa itu terus membesar dalam asuhan dan didikan kambing. Ia hidup dalam kumpulan kambing. Ia menyusu, makan, minum dan bermain dengan anak-anak kambing. Tiada apa-apa perbezaan dengan kambing-kambing lain dengan diri singa itu. Ia sama sekali tidak pernah berasa dirinya adalah seekor singa.

Pada suatu hari maka berlakulah tragedi terbesar dimana seekor serigala buas masuk memburu kambing untuk dimakan. ’Kau singa! Cepat lawan serigala itu. Cukup dengan mengaum sahaja,pasti serigala itu berasa ketakutan!’ Kata ibu kambing kepada anak singa yang sudah kelihatan besar dan gagah itu.

Tapi anak singa yang sejak kecil hidup ditengah-tengah kumpulan kambing itu turut takut malah berselindung di belakang ibu kambing. Ia berteriak sekeras-kerasnya dan yang keluar dari mulutnya adalah suara mengembik sama seperti kambing lain. Bukannya mengaum.

Anak singa itu tidak dapat berbuat apa-apa ketika salah seekor anak kambing yang tak lain adalah saudara sesusu dengannya,diterkam dan dibawa lari oleh serigala buas itu.

Ibu kambing amat sedih kerana salah seekor anaknya maut dimakan serigala Ialu ia pun memandang anak singa itu dengan perasaan penuh marah.

‘Sepatutnya kau boleh membela kami! Kau boleh melindungi kami! Seharusnya kau boleh menyelamatkan saudara kau itu! Seharusnya kau boleh menghalau serigala yang jahat itu!’

Anak singa itu menunduk. Ia tidak faham dengan maksud kata-kata ibu kambing. Ia sendiri berasa takut pada serigala itu sebagai mana kambing-kambing yang lain. Anak singa itu pun sedih kerana tidak dapat berbuat apa-apa terutamanya menyelamatkan saudaranya itu.

Hari berikutnya serigala ganas itu datang lagi. Ia memburu kambing-kambing untuk dimakan. Kali ini ibu kambing pula yang tertangkap dan sedang dicengkam oleh serigala. Semua kambing tidak ada yang  berani menolong. Anak singa itu tidak sanggup melihat ibu kambing yang sudah dianggap ibunya itu dicengkam oleh serigala. Dengan nekad ia mengejar dan menyerang serigala itu. Serigala terkejut bukan kepalang apabila melihat ada  seekor singa dihadapannya. Lalu dilepaskan cengkamannya.

Serigala itu gementar ketakutan.Ia pun pasrah.Ia berasa hayatnya bakal tamat.

Dalam keadaan terlalu marah itu anak singa pun berteriak keras. ’Embik!’ lalu ia berundur mendapatkan ruang untuk menyeraduk lagi.

Melihatkan tingkah laku anak singa itu,serigala yang ganas dan licik itupun tahu bahawa yang ada dihadapannya adalah singa bermentaliti kambing. Jadi tidak ada bezanya dengan kambing.

Ketika itu juga ketakutannya hilang. Ia mengeram marah dan sekali lagi bersedia untuk singa bermenteliti kambing itu.

Ketika anak singa itu menerajang dengan menyeradukkan kepalanya sebagaimana kambing,sang serigala pula sudah bersedia dengan tendangannya yang kuat. Dengan sedikit berkelik,serigala itu pun berjaya mencalarkan muka anak singa itu dengan cakarnya.

Anak singa pun terus rebah dan mengaduh kesakitan.  Sementara kambing-kambing yang menyaksikan kejadian itu pun cemas. Ibu kambing juga hairan, kenapa singa yang gagah begitu boleh kalah dengan serigala. Bukankah singa adalah raja hutan?

Serigala pun terus menyerang anak singa yang sedang mengaduh kesakitan. Serigala itu juga bersedia untuk menamatkan nyawa anak singa itu. Pada masa kritikal begitu, ibu kambing tidak sampai hati, lalu dengan sekuat tenaga ia menerjang serigala. Serigala pun terpelanting. Anak singa pun dapat bangun.

Ketika itu seekor singa dewasa muncul dengan ngauman yang amat dahsyat. Semua kambing pun ketakutan. Anak singa itu juga turut takut. Sementara sang serigala pula cabut lari.

Ketika sang singa dewasa hendak menerkam kambing itu, ia merasa terkejut kerana di tengah-tengah kumpulan kambing itu ada seekor anak singa.

Beberapa ekor kambing lari bertempiaran. Anak singa itu pun turut lari. Singa dewasa itu pun hairan. Ia hairan kenapa anak singa itu turut lari mengikut kambing yang banyak itu? Dia pun mengejar anak singa itu.

‘Wahai anak singa! Jangan kau lari. Kau bukan kambing kan? Aku tak akan menerkam anak singa!’

Namun anak singa it uterus lari. Singa dewasa pula terus mengejar. Ia tidak jadi mengejar kambing sebaliknya mengejar anak singa. Akhirnya anak singa itu pun tertangkap. Anak singa itu kelihatan ketakutan sekali.

‘Jangan bunuh aku. Ampun!’

‘Kau anak singa, bukannya anak kambing. Aku tidak akan membunuh anak singa.’

Dengan meronta-ronta, anak singa itu berkata, ‘Tidak, aku adalah anak kambing. Tolong lepaskan aku.’

Singa dewasa itu hairan bukan kepalang. Mana mungkin ada anak singa bersuara kambing dan bermentaliti seperti kambing. Dengam geram ia menyeret anak singa itu ke danau. Ia mahu menunjukkan siapakah sebenarnya anak singa itu.

Sebaik sahaja sampai di danau yang jernih airnya, ia meminta anak singa itu melihat bayangan dirinya sendiri. Lalu bandingkan dengan singa dewasa.

Sebaik sahaja melihat baying dirinya, anak singa itu pun terkejut yang teramat.

‘Oh, rupa dan bentukku sama dengan engkau. Sama dengan singa.’

‘Ya, kerana kau sebenarnya anak singa. Bukannya kambing!’ tegas singa dewasa itu.

‘Jadi, aku bukan kambing? Aku adalah seekor singa?’

‘Ya, kau adalah singa. Raja hutan yang yang berwibawa dan digeruni semua penghuni hutan. Mari aku ajarkan kau bagaimana menjadi seekor raja hutan,’ kata sang singa dewasa.

Singa dewasa itu pun mengangkat kepalanya dengan penuh berwibawa. Ia pun mengaum dengan kuat. Ngauman yang menggetarkan seluruh penghuni hutan. Anak singa itu pun cuba meniru. Ia juga dapat mengaum dengan kuat. Tidak jauh dari situ serigala yang ganas itu pun lari bahkan kian kencang kerana takut dengan ngauman anak singa itu.

Anak singa itu berteriak kemenangan.

‘Aku adalah seekor singa! Raja hutan yang gagah perkasa!’

Singa dewasa pun tersenyum gembira mendengarnya.

Filed under: