d cini aku bermula
Wednesday, April 22, 2009 by: CAHAYA Man JRSejak tiba di bumi kanggaroo ini, saya lebih banyak berfikir dan memerhati suasana kehidupan di sekeliling saya. Cuba belajar tentang erti dan makna kehidupan yang sebenar. Bukan apa. Dahulu di Malaysia, saya berada di zon selamat. Ada keluarga di sisi, saya berasa selamat dan tidak begitu peduli tentang apa yang berlaku di sekeliling saya-kerana saya tahu ada orang yang akan menjaga dan membimbing saya.
Tapi di Australia ini, segalanya terpulang pada diri sendiri. Saya yang membuat keputusan tentang cara hidup saya, tiada lagi ibu bapa di sisi yang memantau dari masa ke masa agar hala tuju hidup saya sentiasa terarah kepada kejayaan di dunia dan akhirat. Tiba di sini, saya semakin sedar tentang 2 jalan yang sangat jelas bezanya. Jalan kebaikan dan jalan kejahatan.
Dapat dibezakan dengan jelas antara orang yang beramal dengan amal kebaikan dan orang yang hidupnya dipenuhi dengan maksiat dan hiburan. Hitam putih! Kelabu pun ada juga, tapi saya mengklasifikasikan kelabu itu ke dalam hitam kerana percampuran perkara yang baik dengan tidak baik akan membawa kepada keburukan juga. Saya tidak berminat dengan golongan yang terkemudian, kerana saya tahu bukan jalan yang mereka pegang itu yang membawa kepada kejayaan. Bukan dengan berfoya-foya itu saya akan pergi ke syurga. Tidak sama sekali.
Saya lebih berminat melihat pada golongan yang awal ini. Mereka ini unik. Cara hidup mereka mantap dari segala aspek walaupun adakalanya tampak kekurangan, tetapi bagi saya secara keseluruhannya mereka ini orang yang hebat dan mantap. Matlamat hidup mereka jelas. Dan apa yang lebih menarik hati saya untuk bersama mereka ini, ialah walaupun mereka adalah golongan yang mengejar akhirat tetapi mereka juga mantap dalam hal keduniaan.
Akhlaknya baik, hubungan dengan orang lain juga mesra, tidak mudah marah, sentiasa senyum dan hebat dalam pelajaran. Kalau bab akhirat lagi hebat. Solat sentiasa berjemaah dan sangat mengutamakan solat di musolla. Hanya kalau ada halangan saja mereka solat di rumah. Belum kira baca dan mengkaji makna ayat-ayat quran dan hafazan lagi. Ilmu islam lagi. Masya Allah, serba serbi hebat.
Diam-diam dalam hati ini menyimpan azam bahawa saya juga ingin menjadi seperti mereka. Pun begitu, nak mencapai tahap seperti mereka ini bukan mudah. Puas berperang dengan nafsu, dengan kawan yang banyak mencenderungkan ke arah bertentangan. Juga kerana banyak cara hidup bukan Islam yang telah terpupuk dalam diri ini sejak kecil, maka sangat sukar untuk mengubah kebiasaan itu kepada kebiasaan yang disarankan Islam.
Bayangkan kalau dari kecil tidak dididik dengan solat berjemaah pada setiap waktu,nak ubah kepada solat berjemaah setiap waktu tentunya susah. Lagi-lagi kalau subuh. Selalunya bangun dan solat sendiri sahaja. Cepat dan mudah. Senang nak sambung tidur balik. Astaghfirullah. Ibaratnya macam periuk yang tidak pernah dibersihkan arangnya selama bertahun-tahun, nak hilangkan tu memang payahlah. Kena sental dengan berus besi, bubuh detergen, clorox. Tu pun kadang-kadang tak hilang juga.
Saya mengkaji jalan-jalan dan cara-cara untuk saya menjadi seperti mereka. Dan dari kajian saya, mereka ini juga dahulunya tidaklah seperti diri mereka sekarang. Tetapi mereka ini berubah menjadi hebat kerana mereka sedar tentang matlamat hidup mereka yang sebenarnya. Mereka tahu bahawa hidup ini sementara, satu masa kelak akan mati juga. Dan selepas kematian ada 2 jalan sahaja iaitu ke syurga atau ke neraka. Dan semestinya semua orang ingin ke syurga.
Dan atas kesedaran itu juga, mereka mula merubah diri dan gaya hidup mereka ke arah Islam yang sebenarnya. Mereka mencuba mengamalkan gaya hidup Islam yang sebenarnya dan nah! Mereka ini menjadi antara manusia yang hebat walau mereka ini mungkin tidak sehebat Rasulullah dan para sahabat yang hidup di dunia ini suatu ketika dahulu.
Ramai antara mereka ini menggariskan 10 ciri yang patut ada untuk menjadi Muslim yang sebenar, untuk menjadi manusia yang hebat. Kebanyakan mereka menggunakan ciri-ciri ini untuk mendidik diri mereka menjadi manusia yang hebat, Muslim yang diredhai Allah.
10 ciri tersebut adalah:
1. Aqidah yang sejahtera
2. Ibadah yang shahih
3. Akhlak yang mantap
4. Luas pengetahuan
5. Sihat tubuh badan
6. Mampu berdikari
7. Melawan nafsu
8. Sangat menjaga masa
9. Tersusun urusannya
10.Bermanfaat pada orang lain
Apabila saya menilai kembali diri ini, sepertiga daripada keseluruhan sifat itu pun tiada dalam diri. Astaghfirullah. Saya tahu bahawa jika saya ingin menjadi Muslim yang benar-benar mantap, manusia yang hebat -saya perlu mendidik diri saya ini dari sekarang. Saya kena benar-benar didik diri ini untuk mengamalkan ciri-ciri ini dalam diri saya. Saya kena berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu. Kerana saya ingin juga menjadi seperti mereka.
Menjadi orang yang hebat bukan sahaja di dunia tetapi hebat di dunia kemudian sana. InsyaAllah! Di sini daku bermula. Doakan!
Post a Comment