Tahniah Dan Ikrar Taat Setia Untuk KDYMM Al-Sultan
Monday, April 26, 2010 by: CAHAYA Man JR
Alhamdulillah, segala syukur dan pujian itu hanya bagi Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan ahli keluarga baginda serta sekalian sahabat yang terpilih.
Firman Allah S.W.T.
Bermaksud:
“Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkau sajalah adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(Surah Ali-’Imran 3:26)
Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-60 Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra Ibni Al-marhum Sultan Yahya Petra pada 14 Rabiul Akhir 1431 bersamaan 30 Mac 2010, maka dengan ini saya dan seluruh warga pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan Darulnaim bersama-sama menzahirkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra, Sultan Kelantan.
Turut dizahirkan ucapan tahniah dan ikrar taat setia ini adalah untuk anakanda baginda, Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang telah dipilih secara sah selaku Pemangku Raja Kelantan mengikut Klausa 22A(1)(b) Bahagian Kedua Perlembagaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri pada 24 Mei 2009.
Pada kesempatan ini, sukacita dimaklumkan bahawa semenjak Tuanku Pemangku Raja mula memangku jawatan, Tuanku telah banyak memberi nasihat, pandangan dan tunjuk ajar yang sangat berguna dalam membantu pentadbir Kerajaan Negeri Kelantan.
Sehingga kini, kerajaan dimaklumkan bahawa sekalian rakyat sangat berpuas hati dan berasa bahagia di atas kasih sayang, keprihatinan dan sikap cakna Tuanku kepada seluruh pacal rakyat sekalian. Tuanku telah menjadi Imam Solat Hajat bersama ribuan rakyat jelata, di samping Tuanku sedia tampil menghayati kesusahan rakyat yang merupakan satu detik bersejarah dan sinar baru bagi keteguhan takhta yang berakar umbi menjunjung zaman berzaman. Sesungguhnya, Tuanku adalah turus yang tegak sedia menghasilkan bayang yang lurus.
Justeru itu, pentadbiran kerajaan Negeri sangat menyanjung tinggi sikap Tuanku yang sangat memberi perhatian kepada kehidupan pacal rakyat, terutamanya golongan miskin telah membuatkan sekalian rakyat merasakan Tuanku terlalu hampir dengan mereka. Kalau Tuanku air, maka rakyatlah gayungnya. Kalau Tuanku pucuk, maka rakyat jugalah akar tunjangnya. Sudah pasti rakyat sedia menyokong dan meneguhkan institusi kesultanan Kelantan.
Sehubungan dengan itu, doa kita semua dan seluruh rakyat agar Allah S.W.T. mengurniakan kesihatan berpanjangan untuk Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Al-Sultan, sembuh dari kegeringan dan diberi perlindungan oleh Allah S.W.T. Semoga rahmat berpanjangan jua Allah S.W.T limpahkan untuk Yang Maha Mulia Tuanku Pemangku Raja dan seluruh kaum kerabat baginda.
Kepada rakyat Kelantan seluruhnya, sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada sejarah yang lalu; bahawa sesungguhnya Penguasa Pentadbir yang paling agung ialah Allah ‘Azzawajalla dan penguasa yang paling zalim ialah Firaun laknatullah. Sesiapa yang diberi jawatan yang paling tinggi, maka paling banyaklah dugaan mendatang. Kapal yang besar mesti sarat dengan muatan dan lautan yang sangat dalam dilayarinya. Tetapi sekiranya nakhoda bijak mengendalikannya, maka muatan akan tersusun rapi dan kapal akan selamat ke destinasinya. Maka nakhoda tentulah memerlukan awak-awak yang ikhlas dan jujur.
Pemerintahan adalah amanah yang akan dinilai dan prestasinya akan dilampirkan di akhirat nanti. Berbekalkan segala kudrat yang ada hendaklah kita melaksanakan segala amanah dari Allah dengan betul dan jujur. Agar Negeri Kelantan Darulnaim terus kekal aman dilimpahi nikmat keberkatan dan rahmat berpanjangan dari Allah S.W.T. Ya Allah, hapuskan segala pengkhianat dan penyeleweng sama ada dari segi ekonomi, kewangan, dan pentadbiran. Semoga Negeri Kelantan terus masyhur sebagai negeri kilang ulamak !!
Apa yang penting, sentiasalah kita memohon ke hadrat Allah S.W.T. – Pentadbir kepada sekalian pentadbir – semoga Al-Quran dan As-Sunnah memagari seluruh kehidupan manusia dan Undang-Undang Tubuh Negeri hendaklah menjadi resepi tambahan yang dipatuhi di Negeri Kelantan Darulnaim.
Firman Allah S.W.T.
Bermaksud:
“(Maha berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
(Surah Al-Mulk 67:1).
Akhir kalam, marilah kita semua memanjatkan doa ke hadrat Allah Rabbul Jalil memohon apa kiranya Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Al-marhum Sultan Yahya Petra, Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan dan sekalian usrah Diraja sentiasa berada di bawah lindungan Allah S.W.T sepanjang masa.
Amin Ya Rabal’alamin.
Post a Comment