sarapan rohani di pagi hari--memperkatakan tentang sifat UJUB..

Thursday, April 29, 2010 by: CAHAYA Man JR





Ujub itu ialah salah satu penyakit hati. Ia banyak terkena kepada orang pandai, orang yang banyak ilmu seperti ulamak, ahli ‘abid dan juga para pemimpin. Apa yang dimaksudkan dengan ujub? Iaitu mengkagumi diri sendiri atas kerana kelebihan atau keistimewaan yang ada pada diri. Contoh, berlaku kepada orang pandai. Bila ada ilmu lebih sikit daripada orang lain, boleh pula bercakap dan memberi idea, timbul rasa dalam hati, “Pandai juga aku ini”, “mana ada orang yang sebaik aku dalam memberi idea ini”.

Perasaan seperti inilah yang dikatakan ujub. Dia memuji dirinya sendiri. Dia kagum dan tertarik dengan kelebihan yang ada padanya. Contoh lain, ahli‘abid atau dikenali sebagai ahli ibadah bilamana boleh bersembahyang banyak dari sembahyang fardhu ke sembahyang sunat, lepas itu, sembahyang lagi sehingga 8 ke 10 rakaat. Terdetik kata-kata di dalam hatinya, “Tak ada orang lain boleh buat seperti aku”, “boleh tahan juga aku ni”. Begitulah penyakit ujub itu, ia boleh datang ke dalam hati manusia dalam keadaan manusia itu sedang beribadah kepada Tuhan.

Apa ubatnya kepada penyakit ini?

Kenali Tuhan dan faham peranan Tuhan, itulah yang dapat mengubati penyakit ujub. Bila Tuhan dikenali, peranan Tuhan difahami, akan terasa di hati betapa Maha Besar, Maha Pemurah dan Maha Penyayangnya Tuhan. Akan terasa di hati, segala nikmat yang kita dapat sebenarnya dari Tuhan. Juga, segala pujian itu selayaknya adalah untuk Dia. Kita tak hebat tetapi yang hebatnya adalah Tuhan. Tak akan kita dapat sedikitpun kelebihan, baik kepandaian,boleh berpidato, boleh beribadah dan sebagainya melainkan dengan izinNya.Dialah yang menentukan. Dialah yang memberi kelebihan itu. Mana mungkin kita boleh menafikan semua itu?

Rasa-rasa seperti inilah yang disebut sebagai rasa bertuhan. Hanya dengan rasa bertuhan sahaja, kita akan dapat menangkis ujub. Hanya dengan rasa bertuhan otomatik akan datang rasa kehambaan dalam diri. Sesuai dengan status kita sebagai hamba, mana boleh hamba “claim” yang dia mempunyai? Mana mungkin hamba itu kata yang dia memiliki itu dan ini? Memang kalau hamba itu tetaplah dia hamba. Hamba tidak mempunyai dan memiliki. Sebaliknya, hamba itu dipunyai dan dimiliki. Walaupun ada kelebihan pada hamba, kelebihan itu dipinjamkan. Kelebihan itu diberikan sementara. Hak mutlak ada pada Tuan. Hamba hanya pakai sementara. Hamba hanya dapat bilamana Tuan izinkan. Hamba tak akan dapat kalau Tuan tak beri.

Begitulah juga hubungan hamba dgn Tuhan. Ia mengatasi hubungan hamba dgn Tuan. Tuhan kita adalah Tuan pada segala Tuan. Dia adalah raja segala raja. Dunia seisinya adalah kepunyaan Dia. Termasuk kita manusia adalah kepunyaan Dia. Jika kita faham begini, maka mudahlah untuk kita selamatkan diri kita daripada ujub. Kenapa perlu bangga atau kagum dengan kelebihan pada diri. Ia boleh datang dan pergi, bergantung pada kehendak Tuhan. Ia adalah nikmat dari Tuhan dan kalau kita pandai mengambilnya, akan jadi rahmat yakni berserta kasih sayang Tuhan. Tetapi kalau kita salah cara menerimanya, makaia jadi bala’. Ia adalah nikmat Tuhan dalam bentuk istidraj. Kita akan sentiasa dalam kemurkaan Tuhan kecuali kita bertaubat dan membaiki kesilapankita.

Marilah kita ambil berat tentang penyakit ujub ini dan selalulah memeriksa diri agar kita terselamat darinya. Moga-moga panduan serba ringkas ini,dapat memberi kita ilmu tentang penyakit ujub dan cara mengatasinya. Sekian. 

Filed under: