sifat manusia~~

Monday, May 3, 2010 by: CAHAYA Man JR




ANALISIS SIFAT LUPAKAN ALLAH
Di sini, antara salah satu sifat manusia yang diterangkan di dalam al-Quran ialah sifat lupakan Allah apabila kaya dan kuat. Tetapi manusia akan mula ingatkan Allah apabila ditimpa kesusahan iaitu dengan merendahkan diri dan berdoa kepada Allah serta mengakui keagungan Allah. Antara ayat al-Quran yang menerangkan tentang sifat ini ialah surah Yunus,ayat 12:
Maksudnya: Dan kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda, lalu kami hapuskan tanda malam dan kami jadikan tanda siang itu terang, agar kamu mencari kurnia dari Tuhanmu, dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun-tahun dan perhitungan. dan segala sesuatu Telah kami terangkan dengan jelas.
Mengikut tafsir pimpinan Al-Rahman, tafsir ini menerangkan bahawa di antara rahmat Allah kepada manusia ialah diberinya kemudian belayar di laut untuk mencari rezeki, apabila mereka ditimpa bahaya, maka pada saat itu mereka hanya teringat kepada Allah dan mengharapkan pertolongan Allah swt. Tetapi setelah mereka tiba di darat dengan selamatnya, maka mereka pun mempersukutukan Allah dengan makhluk-makhluk yang mereka puja dengan sesatnya.
Jadi, ini jelas menunjukkan bahawa al-Quran menerangkan tentang sifat manusia yang lupa diri dan tidak ingat akan Allah apabila manusia itu dalam keadaaan kesenangan. Malah, mereka tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan selama ini. Selain itu, mereka tidak menyembah Allah iaitu tidak melakukan perkara yang disuruh oleh Allah swt. Mereka juga mempersukutukan Allah iaitu dengan menyembah sesuatu yang selain Allah. Antara contoh perkara yang disembah oleh manuasia ialah patung atau berhala. Ini merujuk kepada kaum kafir.
Tetapi apabila berlaku sesuatu musibah atau bencana, maka manusia itu akan mula teringatkan Allah swt. Mereka akan meminta dengan bersungguh-sungguh kepada Allah swt iaitu dengan merendahkan diri kepada Allah dengan serendah-rendahnya. Mereka juga akan berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sesuatu yang dihajati. Apabila doa itu dimakbulkan, maka mereka akan sedikit demi sedikit akan melupakan Allah swt. Sifat ini merujuk kepada orang-orang Islam.
Dr. Aisyah Al-Buti menjelaskan bahawa manusia mempunyai kebiasaan iaitu sewaktu kaya dan kuat, ia akan melupakan Allah. Dan apabila ia ditimpa kesulitan, barulah ia teringat kepada tuhannya, merendahkan diri dan berdoa kepada penciptanya iaitu Allah s.w.t. Ini menunjukkan bahawa manusia itu memang wujud sifat bongkak dan takbur serta senang lupa diri apabila berada dalam suasana atau keadaan yang selesa. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar mensyukuri dengan nikmat yang Allah yang berikan dan menggunakannya sebaik mungkin nikmat yang diberikan.
ANALISIS SIFAT SOMBONG DAN BONGKAK
Ayat yang menerangkan tentang sifat manusia menjadi sombong dan bongkak serta membantah Allah ialah surah Al-nahl, ayat 4:
Maksudnya:ia menciptakan manusia dari air(benih),kemudian(setelah sempurna
kejadiannya) tiba-tiba menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas
bantahannya.”
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah mencipta manusia, tetapi manusia itu sombong kepada tuhannya sendiri. Mengikut tafsir pimpinan Al-Rahman, diterangkan bahawa manusia yang membantah serta sombong itu merujuk kepada keingkaran manusia itu kepada tuhannya. Keingkaran di sini merujuk kepada sifat manusia itu yang tidak mahu menyembah Allah swt malah mempersukutukanNya.
Selain itu, keingkaran yang ditunjukkan oleh manusia ialah dengan tidak mensyukuri nikmat Allah swt. Mereka sombong dengan apa yang ada pada mereka tetapi semua itu adalah dari Allah swt. Allah swt mencipta manusia dan memberi Al-Quran sebagai petunjuk untuk menerangkan tentang kehinaan dan kelemahan manusia agar manusia tidak melupakan asal-usul penciptaannya.
Asal-usul penciptaan manusia adalah dari setitis air mani atau tanah atau dari segumpal darah,lalu segumpal daging,atau dari air memancar keluar dari antara tulang sulbi laki-laki dan tulang dada perempuan. manusia sama sekali tidak memerlukan belajar secara ilmiah atau memahami kesedaran itu guna menahan dan mengendali kebongkakkannya, agar tidak melampaui batas-batas takdirnya sehingga menjadi keterlaluan dan pembantah. Manusia juga cenderung kepada sifat keterlaluan dan bongkak. Selain itu, manusia juga tidak menunjukkan sikap yang menyatakan rasa terima kasih kepada Allah swt. Dan manusia di sisi tuhan menjadi pembantah yang nyata malah tidak pula menyesali perbuatannya.
Oleh kerana sifat manusia yang membantah ini, maka manusia itu tidak memikirkan tentang sebab dia diciptakan iaitu untuk beribadah kepada Allah s.w.t. Firman Allah swt di dalam surah al Zariyat ayat 56 :
Maksudnya: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.
Sedangkan manusia itu juga adalah makhluk yang lemah, iaitu hanya hamba kepada penciptanya. Tidak ada sebab dia perlu membantah malah apatah lagi berpaling tadah dari tuhannya iaitu Allah s.w.t dengan menyukutukanNya. Jadi, salah satu sifat manusia yang disebut dalam Al-Quran ialah sifat manusia yang cenderung menjadi seorang yang sombong dan serta membantah kepada Allah.

HUBUNGAN ANTARA SIFAT MANUSIA YANG LUPA DAN BONGKAK
Daripada analisis ayat yang menerangkan sifat manusia yang lupa dan bongkak, dapat disimpulkan bahawa kedua-dua sifat ini terdapat pada semua manusia, samada yang muslim atau kafir, akan tetapi sifat dapat dikawal apabila seseorang mukmin itu benar-benar bertakwa. Sifat bongkak dan lupa ini ialah sifat negatif yang terdapat pada diri manusia. Sifat bongkak ini hanya mendorong manusia untuk melakukan kejahatan terhadap makhluk Allah s.w.t yang lain bahkan boleh merosakkan manusia itu sendiri.
Sementara sifat manusia yang lupa juga akan membinasakan manusia itu sendiri. Dari sifat lupa itulah mewujudkan sifat bongkak seperti yang di atas tadi. Sifat lupa ini juga membawa keburukan kepada makhluk Allah yang lain. Keburukan yang dibawa oleh sifat lupa dengan sifat bongkak ini tidak banyak membezakan antara kedua-duanya. Ini adalah kerana kedua-duanya membawa kepada kebinasaaan.
Apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah Al-Quran menerangkan sifat-sifat manusia sesuai bahawa Al-quran itu ialah wahyu dari Allah untuk manusia. Selain itu juga, hasil daripada penerangan dalam Al-Quran juga membolehkan kita memahami bahawa manusia itu mempunyai pelbagai sifat samada yang baik atau buruk. Ia juga dapat mengingatkan manusia bahawa manusia itu tidak sempurna dan banyak kekurangannya. Oleh itu, manusia tidak perlu berlagak sombong dan bongkak kepada penciptanya. Hal ini adalah kerana sifat tersebut akan menyebabkan manusia mendapat azab siksaan pedih api neraka dan ini menunjukkan Allah s.w.t itu maha agung lagi maha sempurna.
Perkongsian Oleh : Mohd Badrul Hisyam

Filed under: